Ahad, 18 Julai 2010

Jalan-jalan ke Kompleks Tugu Negara (National Monument), Kuala Lumpur



"berjalan kaki menghala ke pintu masuk Tugu Negara..
kelihatan dalam foto, dari kiri: adik saya, isteri saya.."
"laluan ke perkarangan Tugu Negara.."
"adik perempuan saya, konon-konon beraksi dengan Diana F+ yang baru dihadiahkan kepadanya.."
"Tugu Negara, dari sisi/sudut kegemaran saya.."
"laluan berkolam air pancut yang mengelilingi perkarangan Tugu Negara
turut dihiasi barisan Jalur Gemilang.."
"antara sudut lain Tugu Negara yang sempat dirakamkan,
hari sudah hampir senja sejurus sebelum kami pulang.."
Beberapa bulan lalu, saya bersama isteri dan adik perempuan saya telah berjalan-jalan sambil bergambar di sekitar Kompleks Tugu Negara. Adik perempuan saya ketika itu kira-kira baru saja beberapa minggu selesai menduduki peperiksaan SPM. Sebagai tanda menghargai usahanya dalam pelajaran, saya dan isteri telah menghadiahkan sebuah kamera lomografi, Diana F+. Kami mahu menggalakkan dia mengisi masa lapangnya sebelum ke universiti dengan aktiviti yang berfaedah dan boleh menjana kreativiti. Outing ke Kompleks Tugu Negara ini kiranya antara lain bertujuan untuk merasmikan kamera Diana F+ tersebut. ;)

5 trivia tentang Tugu Negara:


1. Dibina untuk memperingati 11 ribu jiwa perajurit negara yang terkorban ketika Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1935-1942) dan ketika era Darurat (1948-1960).


2. Tugu Negara telah siap dibina dan mula dibuka pada 8 Februari 1966.


3. Setinggi 15 meter, diperbuat daripada gangsa.


4. Diukir oleh pereka arca Amerika Syarikat yang berasal dari Austria, iaitu Felix de Weldon. Antara tugu peringatan lain yang dibina oleh beliau adalah Tugu Peringatan USMC atau juga dikenali sebagai Tugu Peringatan Iwo Jima di Virginia, Amerika Syarikat.


5. Salah satu patung besar pada binaan Tugu Negara tersebut pernah mengalami kerosakan akibat letupan bom yang didalangi oleh pihak tidak bertanggungjawab pada 26 Ogos 1975. Walaupun pihak komunis (yang menafikan dakwaan tersebut) disyaki terlibat dalam letupan bom tersebut, namun pelakunya masih tidak dibawa ke muka pengadilan.

Ahad, 11 Julai 2010

Hentian Teksi di Bukit Bintang, KL, MY


Antara foto-foto yang dirakamkan untuk menghiasi latar beberapa buah esei/jurnal berkaitan teksi yang diterbitkan di majalah Mutiara Minda terbitan MPH pada sekitar April-Mei 2010.

Saya mengambil masa lebih kurang 2 jam untuk merayau dan mencari ilham, sambil sesekali memerhati gelagat para pemandu dan penumpang teksi dari kedai kopi berhampiran.

Kelihatan beberapa penumpang dari kalangan kumpulan pelancong asing (Arab, Eropah dan Amerika) terpaksa berunding harga yang mereka sudi bayar kerana ada beberapa pemandu degil yang masih enggan menggunakan meter.

Ada segelintir pemandu teksi yang beratur di hentian-hentian sekitar Bukit Bintang ini menunjukkan reaksi tidak senang apabila saya cuba merakamkan wajah mereka. Saya hanya mampu mengangkat tangan dan berikan senyuman sebelum berlalu pergi. Saya bukan polis, saya bukan wartawan cegah jenayah, saya ikhlas dan hanya mahu berfotografi. ;)

Ahad, 4 Julai 2010

The Aggrobeats di Rice Above #07, MAP Arts Fest 2010


The Aggrobeats adalah kugiran aggro-reggae tempatan yang diasaskan pada awal 2007 oleh Edy J. Herwan, teraju utama Gerhana Skacinta bersama beberapa orang rakan daripada kugiran-kugiran lain seperti Xodd dari Roots 'N Boots, Edy K. dari Coca D'Monday dan juga Bakri, seorang pemuzik upahan professional.

Mereka tidak segan silu mengakui inspirasi utama The Aggrobeats yang sebenarnya adalah The Aggrolites dari California, Amerika Syarikat.


Foto-foto The Aggrobeats ini dirakamkan ketika mereka membuat persembahan penutup untuk Rice Above #07 yang merupakan sebahagian acara utama MAP Arts Fest 2010. Turut berkongsi pentas pada malam tersebut ialah Khottal, Nao dan juga Rebel Scum.