Ahad, 27 Jun 2010

Khottal di Rice Above #07, MAP Arts Fest 2010









Kali pertama saya menonton Khottal adalah semasa menghadiri Rice Above #07 pada 27 Mac 2010 lalu. Saya sudah lama tidak pergi ke gig, dan tujuan pada malam itu sebenarnya semata-mata untuk lepak bersama geng The Aggrobeats yang sudah agak lama tidak beraksi di mana-mana pentas.

Walaubagaimanapun, Khottal berjaya mencuri perhatian khalayak yang hadir apabila tampil di pentas bersama jumlah anggota yang luar biasa, waktu itu saya tidak pasti berapa ramai, tetapi mungkin saja lebih daripada tujuh atau lapan orang semuanya.

Sebagai seorang bukan pakar muzik, saya tidak berapa tahu latar belakang ataupun genre muzik yang mereka mainkan, tetapi rakan saya memberitahu, bunyinya seakan Arcade Fire. Apa-apa sahajalah, bagi saya persembahan live Khottal memang serba mantap dalam santai.

Untuk info lanjut tentang Khottal, sila lawati laman Facebook mereka,
klik sini.

Ahad, 20 Jun 2010

Isham Rais aka TukarTiub di MAP Arts Fest 2010











Foto-foto di atas menampilkan aksi-aksi Isham Rais atau lebih dikenali di blogosfera sebagai Tukar Tiub semasa mempersembahkan komedi berdiri secara langsung pada MAP Arts Fest 2010, 28 Mac yang lalu.



Topik yang dikomedikan oleh Isham Rais pada malam itu lebih kurang begini bunyinya,"Makanan Kegemaran Saya di Pelbagai Penjara Seluruh Dunia". Memang tak kering gusi dibuatnya, terutama apabila beliau menceritakan pengalaman makan ala vegetarian di penjara negara India.

Saya hanya berkesempatan mencuri rakam gambar aksi-aksi beliau pada malam itu dari sudut yang agak sukar, iaitu betul-betul dari sisi kanan si pelawak politikal marhaen ini. Sukar untuk bergerak kerana khalayak agak padat. Blog popular Isham Rais atau Tukar Tiub
dengan paparan menghampiri 15 juta kali boleh dilawati di sini.

Ahad, 13 Jun 2010

Menara Berkembar Petronas, KLCC

Foto Menara Berkembar Petronas (Petronas Twin-Towers) yang terletak di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) ini dirakamkan secara kebetulan semasa saya terlibat dengan sebuah produksi teater, di mana kami telah dibawa melawat ke lokasi-lokasi bersesuaian untuk pementasan di beberapa tingkat tertinggi Menara Kuala Lumpur (KL Tower), yang mencanak di puncak Bukit Nenas, Kuala Lumpur.


Gambar asalnya memang teruk kerana dirakamkan dari belakang cermin yang agak kotor dan seeloknya tidak perlu saya kongsikan di sini. Setelah melakukan beberapa kaedah cuba jaya semasa pasca-prosesan, akhirnya hasil akhir ini menjadi pilihan untuk saya paparkan.


Semasa saya pos gambar ini ke Facebook, ada rakan yang bertanya kepada saya, apakah ini sebuah lukisan atau foto? Saya jawab, itu terpulang kepada mata yang melihat, dan juga kewarasan akal yang menilai. Bagi saya, dua-dua pun boleh.

Ahad, 6 Jun 2010

(*,*) Entri Sulung: Fotografi Jalanan di Jalan Leboh Ampang

"Bila Mahu Terbang?"


"Orang Akhbar 1"


"Orang Akhbar 2"


"Pegang Kuat-kuat"


"Tangga Keberhalaan"


"Tukang dan Mesin"


Lokasi : Jalan Leboh Ampang, Kuala Lumpur

Secara rasminya, ini adalah entri sulung blog Se-juta Wajah. Sebelum ini, saya pernah memblog secara anonymous di serata Myspace, Facebook dan juga Blogspot. Apabila saya suka, maka saya akan tulis dan pos, kemudian apabila saya tidak suka, maka saya padamkan sahaja tanpa perlu fikir panjang. Tujuan saya waktu itu hanya untuk berlatih menulis dan melihat reaksi pembaca yang terdiri dari kalangan rakan-rakan rapat sahaja.

Mulai entri ini, saya akan memblog secara lebih bebas, fokus dan tersusun, sekurang-kurangnya mudah untuk saya selia dan selenggarakan bila-bila masa tanpa perlu hafal atau ingat pelbagai login dan juga password. Selesailah ucapan alu-aluan. Terima kasih.

Kembali kepada entri, foto-foto di atas dirakamkan ketika saya mengikuti program PhotoMalaysia Monthly Outing S04 : A Walk in the Streets of KL pada 30 Mei 2010 yang lalu.

Kelihatan banyak urusan dan rutin harian klasik yang masih berlaku di sekitar Jalan Leboh Ampang. Lebih menarik lagi apabila ia melibatkan budaya dan gaya hidup warga Malaysia berketurunan India, contohnya saya berkesempatan melihat suasana beberapa buah pejabat ceti ala zaman P. Ramlee yang masih beroperasi, tetapi mereka enggan difotokan atas sebab-sebab tersendiri. ;)

Sesiapa yang pernah singgah di sebatang jalan bersejarah bagi tanahair kita ini pasti akan cuba kembali lagi.